7:35 pm - Monday October 23, 2017

REALITI SEBENAR SISTEM DEMOKRASI

WhatsApp Image 2017-09-15 at 15.00.43MO, 15/9/2017 – SISTEM demokrasi secara seimbas lalu adalah elok, iaitu daripada rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat.

Apa yang dimahukan rakyat, dilaksanakan oleh rakyat dan untuk rakyat.

Secara sepintas lalu, kerajaan yang memerintah adalah cerminan majoriti masyarakat yang memilihnya.

Tulisan ini sekadar menceritakan realiti sebenar demokrasi dan untuk melihat keadaan politik Malaysia hari ini yang bergolak.

Demokrasi, apabila ia daripada rakyat, tentulah ia pelbagai buah fikiran. Banyak orang banyak ragamnya.

Pada masa-masa sebelum ini, ketika dunia masih tertutup, penggunaan dunia maya masih belum meluas, perkara ini tidaklah sekronik hari ini. Lebih-lebih lagi ketika itu masih ada akta ISA.

Dalam dunia internet hari ini, pelbagai media sosial wujud, semua orang bebas menyuarakan pendapat masing-masing. Semua pendapat dikeluarkan, tidak kira ia daripada orang-orang awam yang jahil ataupun pendapat pakar yang bijaksana.

Maklumat, sama ada fakta atau rekaan, mudah tersebar hari ini. Tidak ada siapa yang dapat menyekatnya.

Berbalik kepada sistem demokrasi, untuk melakukan kebaikan atau kejahatan, sesebuah parti memerlukan mandat kuasa untuk memerintah. Undi majoriti rakyat diperlukan.

Maka, kehendak rakyatlah yang akan diambil kira kerana merekalah yang akan mengundi dan menentukan siapa yang akan berkuasa.

Kita akan melihat sesebuah parti akan terpaksa tunduk kepada sebarang kehendak rakyat, walaupun perkara itu sebenarnya tidak bagus untuk rakyat dan negara secara keseluruhan.

Sebagai contoh, apabila undi orang-orang Melayu berpecah, politikus-politikus Melayu terpaksa meraih sokongan orang-orang bukan Islam. Inilah apa yang anda lihat hari ini bagaimana pemimpin-pemimpin Melayu terpaksa tunduk kepada kehendak orang-orang bukan Islam.

Itu sekadar contoh mudah.

Dalam konteks yang lain, kerana mahu meraih undi, politikus-politikus ini terpaksa menjanjikan perkara-perkara yang indah dan menarik kepada masyarakat. Kadang-kadang perkara itu tidak masuk akal. Dalam situasi ini. kelebihan ada di pihak pembangkang. Mereka tidak memerintah, maka mereka boleh menjanjikan apa sahaja asalkan dapat meraih sokongan. Inilah yang terjadi hari ini. Mereka mengadu-domba dan menghasut rakyat berkenaan GST, kenaikan harga bahanapi, kos sara hidup dan pelbagai lagi.

Di pihak pembangkang, mereka telah menjanjikan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa memerintah seperti menghapuskan GST, PTPTN, dan menurunkan harga barang. Dan di pihak kerajaan yang memerintah, mereka juga terpaksa menyaingi tawaran pembangkang ini kerana tidak mahu dijatuhkan.

Ia kelihatan baik untuk rakyat, iaitu ahli-ahli politik berlumba-lumba mahu memenuhi kehendak-kehendak rakyat.

Sebaliknya, apakah ia baik sebenarnya kepada negara dan rakyat?

Jadi, anda akan lihat bagaimana keutamaan ahli-ahli politik bukan lagi kebaikan sebenar untuk rakyat, tetapi apa yang boleh memuaskan hati rakyat. Tindakan-indakan popular akan dilakukan untuk memenangi hati masyarakat ini.

Hal ini boleh dibandingkan dengan tindakan ibu bapa yang membelanjakan wang yang banyak untuk memenangi hati si anak, sedangkan mengajar si anak itu hemah berbelanja adalah tindakan yang sepatutnya.

Ia sebenarnya akan menjadikan rakyat malas, bergantung harap dan tidak kuat. Sebuah masyarakat yang lembik, meminta-minta dan manja akan wujud. Mereka dimanjakan oleh pembangkang dan kerajaan. Jika hal ini tidak dilakukan, mereka akan gagal memenangi hati masyarakat.

Budaya ini akan menyebabkan rakyat meletakkan semuanya di atas bahu kerajaan. Kerana inilah kita lihat kerajaan telah menjadi mangsa kemarahan rakyat apabila terjadi sesuatu isu. Misalnya kenaikan harga barang.

Apa yang diceritakan ini untuk anda renungkan. Di sebalik keghairahan anda berpolitik, fikirkan juga akibatnya kepada negara dan masa depan generasi akan datang. Semuanya akan berpulang kepada masyarakat itu sendiri.

Demokrasi hari ini kesannya sangat buruk. Jika dahulu negara ini mempunyai akta  ISA, ia masih dikira demokrasi yang terkawal. Anda bebas bersuara, tetapi anda tidak boleh bercakap apa sahaja. Anda tidak boleh menyentuh perkara-perkara yang sensitif yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara seperti mengkritik raja-raja, agama, dan bersifat perkauman.

Hari ini semua perkara ini tidak ditakuti lagi. Orang sudah berani bercakap apa sahaja. Jika mereka ditangkap pun, mereka akan dibicarakan. Ia tidaklah mengerikan sebagaimana ditahan tanpa perbicaraan.

Dalam keadaan demokrasi yang bebas begini, sebenarnya tiada kerajaan yang akan dapat memerintah dengan baik. Perhitungan pemerintah adalah kehendak rakyat, bukan lagi apa yang sepatutnya baik untuk rakyat. Rakyat akan mengkritik apa sahaja.

Keadaan ini tidak akan menjadi begitu buruk jika pihak pembangkang berpolitik secara bijaksana. Sekiranya mereka membangkang secara bijaksana dan tidak bertindak untuk meraih sokongan rakyat semata-mata, keadaan tidaklah menjadi sebegitu buruk.

Jadi, anda lihatlah sendiri bagaimana keadaan politik hari ini yang bercelaru. Anda tidak akan menyedari realiti ini jika tidak memahami keadaan sebenar demokrasi tanpa had yang saya jelaskan tadi. Anda boleh menilai sendiri kebobrokan ahli-ahli politik dalam meraih kekuasaan.

Apa yang anda nampak ini sepatutnya membuka minda anda dalam membuat pilihan dan tindak balas atas sesuatu isu. Misalnya, ikhlaskah pembangkang apabila mereka menjanjikan perkara-perkara yang tidak munasabah kepada rakyat yang anda sendiri tahu ia tidak dapat dilaksanakan. Anda boleh terpengaruh dengan mereka sehingga keadaan ini memaksa kerajaan sedia ada terdesak dan turut melakukan tindakan bersifat popular walaupun ia merosakkan masyarakat, tetapi anda harus akuinya ia akan merosakkan masyarakat pada akhirnya.

Untuk menghentikan kitaran ganas politik ini, pemikiran cerdas anda sebagai rakyat diperlukan. Jika anda tidak menghentikannya, anda akan terjerumus ke dalam keadaan yang buruk berterusan.

Semuanya bergantung pada tindakbalas anda dalam sesuatu isu. Misalnya, kerana terdesak mahukan sokongan orang-orang bukan Islam, pembangkang melacurkan agama mereka. contohnya isu kalimah Allah. Anda tidak sepatutnya menyokong perkara ini walaupun ia disokong oleh parti yang anda sokong.

Begitu juga dalam isu golongan LGBT, Sekular, Plural dan Liberal, pembangkang telah meraikan kebejatan golongan ini untuk meraih sokongan mereka.

Dalam ayat yang lain, anda boleh mengkritik dan mengutuk tindakan kerajaan yang anda fikir tidak adil, tetapi janganlah terpedaya dengan sesuatu yang tidak logik yang ditawarkan pembangkang, yang boleh merosakkan negara. Anda tahu, dalam dunia ini, tidak ada barang pun yang turun harganya. Begitu juga isu kenaikan harga bahanapi. Kerajaan bukan pihak yang menentukan harganya.

Seandainya anda terus berpolitik membabi-buta mengikut gendang yang dimainkan pembangkang, apa yang akan terjadi adalah suatu kitaran ganas yang akan  merosakkan negara seperti yang saya jelaskan tadi, iaitu pembangkang membuat tawaran yang tidak masuk akal, anda menyokongnya dan kerajaan terpaksa menyainginya untuk memenangi kembali hati rakyat. Dan apa yang terjadi akhirnya adalah sebuah masyarakat yang lemah, malas dan meminta-minta.

Pada masa yang sama, kerana politik sebegini, pelbagai perkara yang berkaitan agama Islam dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu akan digadaikan, manakala pemikiran-pemikiran yang menyeleweng akan tumbuh subur dalam masyarakat. Ini semua berlaku kerana perebutan sokongan dalam sistem demokrasi.

Filed in: Azman Hussin, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen