9:35 pm - Wednesday February 21, 2018

Sarawak perkenal perkhidmatan bas elektrik

14Jerip_Susil.transformedMO, 13/2/2018, KUCHING: Sarawak dijangka mula menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang baru dan berteknologi tinggi dengan memperkenalkan bas elektrik atau eBas menjelang pertengahan tahun depan.

Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata, sebagai permulaan, sebanyak 130 eBas dijangka digunakan untuk menghubungkan semua laluan ditetapkan.

“Namun ketika ini, saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai laluan utama yang akan menggunakan perkhidmatan itu tetapi ia adalah menumpukan kepada laluan yang selalu mengalami kesesakan,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Jerip berkata, perjanjian perkhidmatan eBas di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) sudah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Konsortium Bas Bandaraya Kuching (KBBK) Sdn Bhd sebagai operator rangkaian, pada 22 November lalu membabitkan operasi 130 bas konvensional diesel.

Katanya, sejajar dengan dasar kerajaan negeri serta pelan yang memfokuskan kepada persekitaran dan penggunaan tenaga yang bersih bagi pengangkutan awam, kerajaan negeri memutuskan untuk menukar daripada penggunaan bas diesel kepada eBas.

“eBas yang mesra alam sekitar adalah teknologi baru dan maju yang akan diperkenalkan di Sarawak,” katanya.

Justeru katanya, bagi mendapatkan maklumat lengkap berkenaan teknologi terkini itu, satu kajian kebolehlaksanaan dan perbincangan akan dibuat dengan teliti oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak bersama agensi berkaitan.

“Kajian itu juga untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan pelaksanaan keseluruhannya dalam jangka panjang,” katanya.

Filed in: Dari Bumi Kenyalang, Nasional, Teknologi dan Media Sosial, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen