1:25 pm - Sunday November 23, 2014

Sedekah Tanda Orang Yang Bermurah Hati

danbo1

PEPATAH Melayu ada mengatakan, ?Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.” Orang yang baik budi ialah orang yang suka memberi dan kalau kita payah hendak memberi, bermakna kita orang yang kurang kasih-sayang. Alangkah ruginya orang yang tidak menghargai dan tipis rasa kasih-sayang, kerana kasih-sayang adalah kunci penyelesaian kepada banyak masalah kehidupan.

Kita biasanya suka memberi kepada orang yang kita kenal dan suka. Tetapi, sebenarnya kita kena biasa-biasakan diri kita, memberi kepada orang yang kita tidak kenal dan orang yang tidak pernah baik dengan kita tetapi sangat memerlukan pertolongan kita. Ini yang dinamakan dalam Islam, sedekah.

Bagi membicarakan topik sedekah ini kita kena gunakan analogi antara ?saham dunia” dengan ?saham akhirat”. Formula ekonomi dan saham kehidupan di dunia, ?kita dapat 100 simpan 10″. Tetapi, untuk ekonomi dan saham akhirat, ?kita beri 90 simpan 10″. Maknanya kita belanjakan untuk manfaat di akhirat 90 peratus, 10 peratus sahaja yang kita gunakan untuk diri kita.

Lebih jelas lagi maksudnya, walaupun kita memiliki banyak duit, tetapi duit itu bukan untuk melabur melayan hawa nafsu kita sahaja, seperti hendak membeli barang-barang mewah yang bukan barang keperluan, tetapi kita manfaatkan duit kita untuk membangunkan ummah dan membantu orang serta memudahkan orang. Kemurahan hati, bermula dengan lima aspek utama dalam kehidupan manusia (emosi, fizikal, intelektual/minda, kewangan dan kerohanian).

Setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing seperti mempunyai tubuh badan yang sihat, mempunyai banyak wang, dan ada pula yang bijak. Oleh sebab itu bermurah hati atau bersedekah bukan hanya dalam bentuk wang ringgit sahaja, tetapi boleh dalam apa-apa bentuk bergantung kepada kemampuan dan kelebihan diri masing-masing yang boleh disumbangkan manfaatnya kepada orang yang memerlukan.

Bermurah hati adalah sifat Rasulullah dan banyak hadis yang memperkatakan tentang sifat mulia ini. ?Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” ?Siapa yang bersedekah satu ada tujuh cabang atau tangkai yang menyertai satu sedekahnya.” Bayangkan kita bersedekah pada pagi hari boleh mengelakkan musibah sepanjang hari. Sebab itulah, bagi orang yang musafir, petua untuk perjalanannya selamat dan dipermudahkan Allah banyakkan bersedekah.

Tukar fahaman kita tentang konsep bersedekah ini. Lazimnya kita memahami proses bersedekah ini akan berlaku hanya apabila kita bertemu dengan peminta sedekah yang berbaju comot dan kotor, duduk menadah tangan di tepi jalan. Maknanya jika kita bertemu dengan orang yang begitu, kita memberi atau bersedekah setelah diminta. Tetapi, konsep bersedekah yang dimaksudkan adalah ?mencari” peluang untuk bersedekah kepada orang yang tidak meminta dan mengharapkan apa-apa pun daripada kita.

Contoh yang paling bagus adalah bersedekah kepada pencuci tandas. Kerja yang paling kita tidak suka buat adalah mencuci tandas, tetapi kita mahukan tandas yang bersih? Oleh itu hargai pencuci tandas. Jadikan amalan setiap kali kita hendak masuk ke tandas awam, siapkan duit untuk kita berikan kepada pekerja pencuci tandas, sebagai menghargai mereka, orang yang sanggup membuat kerja yang ramai orang tidak mahu buat.

Tetapi, ingat jangan kita bersedekah kepada orang, sehingga orang itu berasa dirinya terhina. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan perasaan negatif orang yang menerima sedekah kita? Pertama, jangan memberi dengan perasaan sombong dan kasar. Kalau orang meminta kepada kita dan kita enggan memberi, tolaklah permintaan mereka itu dengan lembut, jaga akhlak jangan sampai orang tersinggung.

Kedua, apabila kita memberi kepada orang miskin atau kepada pencuci tandas, katakanlah kepada mereka, ?Tolong doakan saya selamat dalam perjalanan.” Apabila kita memberi kepada orang yang kita mengharapkan doanya, maknanya dia berasa dihargai dan dekat dengan Allah.

Islam menggalakkan umatnya bermurah hati sebab orang yang paling bermanfaat, ialah orang yang lebih banyak memberi daripada banyak menerima. Jadilah pemberi bukan penerima kerana orang yang bermurah hati tanda orang yang tinggi budi. Dalam Islam, orang pertama yang kita mesti memberi atau bersedekah adalah kepada saudara-mara kita dahulu, kerana menjaga silaturahim.

Kita tidak akan sempurna selagi kita tidak membuat dua perkara ini. Pertama, tolong orang yang tidak boleh membalas kebaikan dan pertolongan kita. Kedua, bantu dan memberi kepada orang tidak kenal siapa yang memberi kepadanya; tangan kanan memberi tangan kiri disembunyi.

Ikhlas apabila kita memberi, dengan melupakan semua kebaikan kita kepada orang dan lupakan semua kejahatan orang kepada kita. Apabila ingat, semua kebaikan orang kepada kita dan lupakan semua kejahatan orang kepada kita, kita akan menjadi seorang yang sangat ikhlas dan tidak mengungkit.

Kalau hendak tolong orang, tolong betul-betul. Kalau kawan-kawan berniaga, beli barang jualannya tanpa tawar-menawar atau mengharapkan potongan harga, dengan niat kita menyokong usaha mencari rezeki tambahan melalui perniagaan secara kecil-kecilan. Itulah salah satu cara kita membahagiakan kawan-kawan kita.

Kita mesti bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Tidak pernah ada orang yang murah hati tidak bahagia. Kalau kita susah hati tengok orang lain senang dan kita senang tengok orang lain susah, inilah yang dikatakan dengki. Didiklah hati kita menjadi orang yang suka tengok orang suka atau bahagia melihat orang bahagia. Sikap bermurah hati ini kita didik kepada anak-anak. Masukkan nilai murah hati kepada anak. Ajar anak kita berkongsi dan memberi dengan sesama adik-beradiknya sejak mereka kecil lagi. ?Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Oleh Dr. Muhaya Mohamad

Filed in: Agama

One Response to “Sedekah Tanda Orang Yang Bermurah Hati”

  1. Alexander Idrus Zulkarnain
    December 30, 2013 at 10:51 pm #

    DAN BELANJAKANLAH SEBAGIAN DARI APA YANG TELAH KAMI BERIKAN PADAMU SEBELUM DATANG KEMATIAN ATAS SALAH SEORANG DIANTARAMU, LALU IA BERKATA: “YA TUHANMU MENGAPA TIDAK ENGKAU TANGGUHKAN KEMATIANKU BARANG SEHARI SAJA, YANG MENYEBABKAN AKU DAPAT BERSEDEKAH DAN AKU TERMASUK ORANG ORANG YANG SHALEH. (Al Munafikuun 10)

    Dari ayat Munafikuun 10 diatas, kita mengetahui bahwa bersedekah itu termasuk perbuatan orang2 yang sholeh.Sama kita ketahui bahwa manusia umumnya amat menyintai dunia dan harta bendanya, sehingga amat menyintai uangnya*ringgit atau rupiah), dan berat hati untuk membelajakannya. Itulah cobaan besar dari Allah.

    Siapa ingin menjadi orang shaleh dalam sudut pandang Allah ?? Banyak2lah dan sering2lah bersedekah.

Tinggal Komen