10:09 am - Friday March 24, 2017

Seorang lelaki ditahan kerana menyamar sebagai pegawai Imigresen

imigresenMO, 12/1/2017, ALOR SETAR – Seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai pegawai Imigresen untuk mengugut seorang pemilik syarikat di perkarangan sebuah pasar raya di Alor Setar, tengah malam tadi.

Lelaki berusia 52 tahun yang memiliki sepucuk pistol tiruan itu ditahan sepasukan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 12 tengah malam, selepas meminta suapan RM2,000 daripada mangsa.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata suapan itu diminta suspek dengan alasan kononnya bagi mengelakkan tindakan dikenakan terhadap syarikat mangsa yang menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

Anggota yang melakukan pemerhatian menahan suspek yang sedang berurusan dengan mangsa, sebelum pemeriksaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan untuk tujuan mengugut. Suspek akan disiasat sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah

Suspek dibawa SPRM ke Mahkamah Majistret di sini, sebelum Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaluddin Elias, membenarkan perintah tahan reman ke atasnya selama tujuh hari, bermula hari ini.

Filed in: Nasional, Rencana, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen