9:50 pm - Saturday November 22, 2014

Tafsir Mimpi

maksud-mimpi-500x177

Mimpi adalah fenomena seseorang itu melihat, mendengar dan melakukan perbuatan di luar sedar mereka. Ada yang menyatakan fenomena mimpi adalah khayalan atau mainan tidur saja, namun ada menganggap ia satu petanda yang boleh dibuat rujukan ketika di alam realiti.

Kepercayaan terhadap mimpi bergantung kepada pegangan individu itu seperti kepercayaan adab resam sesuatu kaum atau agama yang dianuti.

Ahli psikologi Barat terkenal, Sigmund Freud, berpendapat mimpi seseorang boleh mentafsir peribadinya, masa silamnya dan apa yang diingininya

Carl Jung, seorang ahli psikologi bercakap mengenai mimpi, beranggapan sebaik-baik penterjemah mimpi adalah orang yang bermimpi kerana dia sendiri yang lebih memahami setiap simbol muncul dalam mimpi itu.

Mustahil boleh kawal mimpi

Dalam Islam, mimpi yang benar kebiasaannya terjadi kepada orang soleh yang taat ajaran al-Quran serta sunnah, namun ada kalanya manusia biasa juga turut mengalaminya kerana mustahil bagi manusia untuk mengawal mimpi yang mereka alami.

Pada waktu itu, jiwa seseorang telah diterima Allah SWT, lalu ketika bangun jiwa itu dikembalikan seperti firman-Nya: “Allah memegang nyawa (seseorang) pada saat kematiannya dan nyawa (seseorang) yang belum mati ketika dia tidur, maka Dia tahan nyawa (orang) yang Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah az-Zumar, ayat 42)

Ini membuktikan tidur adalah sebahagian daripada kematian atau dipanggil sebagai kematian kecil.

Dengan ayat ini, jelaslah Allah menjaga dan memelihara jiwa hamba-Nya yang bertakwa ketika mereka tidur.

Tiga jenis mimpi

Berpandukan hadis riwayat Imam Muslim, mimpi mempunyai tiga jenis iaitu mimpi yang benar berbentuk khabar berita dari Allah. Kedua, mimpi sedih daripada syaitan dan ketiga, mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.

Mimpi sedih daripada syaitan dan mainan jiwa sememangnya tidak membawa sebarang erti. Mimpi khabar berita dari Allah adalah mimpi yang benar dan wajib dipercayai.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita yang menggembirakan). Sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan dengan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi: Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang soleh.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Al-Mubasysyiraat adalah khabar gembira daripada Allah kepada hamba-Nya yang terpilih. Mimpi benar dalam bentuk peringatan terhadap hamba-Nya mengenai perkara buruk bakal berlaku supaya dia boleh berusaha mengelaknya atau berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat.

Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan menggubal hukum baru tetapi kerana Allah SWT memerintahkan supaya Rasulullah menyampaikan apa yang telah diwahyukan kepadanya kepada seluruh umat manusia.

Firman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya (apa yang diperintahkan itu), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya, dan Allah jugalah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Surah Al-Maaidah, ayat 67)

Sahih Muslim ada menyebut: “Apabila telah menghampiri zaman (kiamat), mimpi seseorang yang beriman itu hampir-hampir tidak dusta, dan yang paling benar mimpinya di kalangan kamu ialah orang yang paling benar percakapannya. Dan mimpi orang Muslim (yang sentiasa bercakap benar) itu adalah sebahagian daripada 45 bahagian kenabian.”

Mimpi aneh dialami Nabi Yusuf

Nabi Yusuf juga pernah mengalami mimpi aneh yang menggambarkan 11 planet, bulan serta matahari yang (sujud) menghormati beliau. Musykil dengan mimpi aneh itu, Baginda menceritakan kepada ayahandanya, Nabi Ya’kub.

Bagaimanapun, setelah mengetahui makna mimpi itu, ayahandanya melarang Nabi Yusuf memberitahu kepada sesiapa pun kerana bimbang mungkin ada kalangan mereka berasa iri hati kepadanya setelah mengetahui kebenaran mimpi itu.

Ternyata mimpi itu menjadi kenyataan, iaitu setelah beliau berkuasa di Mesir, saudara dan orang tua beliau datang berkunjung dan menghormatinya.” (Surah Yusuf, ayat 2-3)

Jadi, bukan semua mimpi hanya mainan tidur semata tetapi ia juga daripada kejadian Allah yang mempunyai maksud di sebaliknya. Kita sebagai khalifah di muka bumi ini perlulah bijak menggunakan akal fikiran untuk menterjemah kesemua kejadian itu

Filed in: Kolum Khas

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen