Langkah tindak balas itu katanya merupakan antara perkara yang telah dibincangkannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo memandangkan republik itu juga merupakan pengeluar minyak sawit utama dunia semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Manila, Filipina baru-baru ini. Dalam perbincangan itu, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju kedua-dua negara melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengadakan pertemuan dengan negara-negara terbabit seperti EU untuk me­yakinkan halangan yang mereka lakukan halangan dan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

Demikian ditegaskan Datuk Seri Najib Tun Razak susulan daripada tindakan negara tertentu termasuk Kesatuan Eropah (EU) yang baru-baru ini mengusulkan satu resolusi untuk menghalang penggunaan bahan api bio yang berasaskan sawit menjelang 2020 kerana pembangunan tanaman itu dikatakan dilakukan secara tidak mampan, mencemarkan alam sekitar dan sebagainya. Najib turut menegaskan bahawa kerajaan juga akan mewajibkan industri sawit di negara ini melaksanakan Skim Persijilan Mampan Malaysia (MSPO) bermula 31 Disember 2019 yang diharapkan dapat menangkis sebarang tuduhan tidak berasas terhadap industri itu. Langkah mewajibkan MSPO merupakan salah satu daripada lima anjakan transformasi industri sawit negara dalam tempoh 100 tahun akan datang. Kerajaan turut memberikan tumpuan terhadap pelaburan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) bagi menyokong perkembangan industri tersebut. Anjakan ketiga, kerajaan mem­beri fokus dan memperkukuhkan pembangunan modal insan. Dalam hal ini, tenaga kerja mahir, berpengetahuan dan berkemahiran dalam teknik serta aplikasi teknologi moden yang akan menjamin kecekapan industri serta produktiviti dan daya saing pada masa depan.