8:33 am - Wednesday April 25, 2018

Undi dulu baru lancar single

KUALA LUMPUR 31 MAC 2018. Kumpulan Bunkface membuat persembahan pada konsert sempena Gegaria Fest di Pusat Kovensyen dan Pameran MATRADE. NSTP/SADDAM YUSOFF

MO, 12/4/2018, KUALA LUMPUR: Teruja memperdengarkan lagu baharu, kumpulan Bunkface bagaimanapun mahu peminat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei depan terlebih dulu, sebelum single itu dilancarkan.

Vokalisnya, Sam memberitahu, kejutan menanti peminat kerana dendangan itu menyaksikan mereka menjalin kerjasama dengan penyanyi veteran, Datuk Jeffrydin dan bintang rap, Caprice.

“Lagu Apa Pun Tak Boleh ciptaan saya memang dirancang dilancarkan tahun ini… Namun, selepas mengambil kira perkembangan semasa, kami mahu memberi ruang kepada PRU-14, bulan depan.

“Jadi kami mahu peminat mengundi dulu… Selepas itu barulah single terbabit dilancarkan,” katanya kepada BH Online.

Sam berkata, tidak banyak maklumat mengenai single itu boleh dikongsi kerana mahu peminat tertanya-tanya.

“Apa yang pasti, gabungan kami bersama Jeffrydin dan Caprice bakal memberi kelainan kepada single itu.

“Lagu ini berkisar segelintir pihak yang tidak mahu berusaha memajukan diri. Kami mengambil risiko untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Sam berkata, dia dan teman-teman bersyukur kerana masih diterima peminat selepas 10 tahun bertapak dalam dunia muzik.

“Mungkin kami jujur memperjuangkan muzik… Itulah menyatukan kami hingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Bunkface yang turut dianggotai Paan dan Youk bakal menggegarkan Konsert GegaRia di lokasi terakhir di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah, Ahad ini.

Selain Bunkface, konsert itu turut dimeriahkan dengan persembahan Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo dan Hujan.

Mengulas mengenai Fiesta GegaRia anjuran Media Prima Berhad (MPB), Sam berkata:

“Fiesta ini memberi peluang kepada band seperti kami untuk menonjolkan bakat kepada pendengar di luar ibu kota.

“Kehadiran kumpulan baharu juga memberi saingan sihat kepada kami untuk memberi persembahan terbaik kepada pengunjung GegaRia,” katanya.

Filed in: Hiburan, Nasional, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen