9:34 pm - Wednesday February 21, 2018

UNDI ROSAK: PILIHLAH YANG SEDIKIT MUDARATNYA

f89c9b8c-848f-42f7-895d-24879dac759c

APABILA Tun Dr Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan harapan, wujud satu kempen boikot, iaitu undi rosak. Ia seperti tidak dirancang, tetapi lahir dari kesedaran ramai orang muda apabila melihat betapa jijiknya percaturan politik hari ini.

Undi rosak sebenarnya adalah manifestasi protes kepada pembangkang. Tidak ada sebab untuk menyatakan ia dilakukan oleh penyokong kerajaan yang kecewa. Jika mereka mahu memprotes kerajaan, mereka akan memilih pelbagai parti lain lagi dalam pakatan pembangkang seperti PKR, PPBM, PAN, PAS atau setidak-tidaknya DAP.

Tetapi mereka memilih melakukan undi rosak. Situasi ini boleh dibaca bahawa golongan ini tidak lagi mempercayai parti politik. Kedua-dua belah pihak adalah sama bagi mereka.

Maksudnya, setelah menentang kerajaan dan menyebelahi pembangkang, mereka mulai tersedar bahawa pembangkang juga sama seperti parti kerajaan. Alasan yang paling jelas, kenapa Tun Dr Mahathir yang dahulunya terkait dengan pelbagai tuduhan buruk sebagaimana Perdana Menteri hari ini, mahu diangkat sebagai calon Perdana Menteri sementara pembangkang.

Mereka ini baru bangun dari mimpi bahawa politik ini bukanlah hitam-putih. Mereka tersedar yang pembangkang bukan seputih yang mereka bayangkan. Kemarahan mereka sehingga menganjurkan undi protes menunjukkan bahawa selama ini pemikiran mereka sempit dalam memahami realiti politik. Mereka hanya melihat dunia politik sebagai hitam putih.

Seperti yang selalu saya katakan, dunia ini bukan hitam putih. Jika kerajaan korup, bukan bermakna pembangkang itu bersih.

Akhirnya, ia akan membawa kepada persoalan, siapa yang kurang mudarat berbanding yang lain. Itulah perhitungan yang sebenar.

Prinsip yang selalu saya utarakan adalah memilih mudarat yang kecil berbanding mudarat yang lebih besar.

Anda harus membuat pilihan, dan jika anda tidak membuat pilihan, orang lain yang akan membuat pilihan kepada anda.

Jika tidak dapat memilih yang terbaik, pilihlah yang keburukannya sedikit. Ia adalah suatu nasihat yang sangat klise dan membosankan bagi ramai orang. Tetapi, ia adalah perkara yang mudah untuk difahami jika kita realis dan tidak terlalu idealistik memilih kesempurnaan.

Jika anda sebahagian daripada golongan yang memilih undi rosak dan boikot PRU, ingin saya bawakan beberapa persoalan.

Bangunlah dari utopia politik anda. Anda sememangnya tidak akan menemui kesempurnaan dalam parti politik. Ia mesti ada cacat-celanya.

Ia adalah soal memilih yang kurang mudarat daripada sekian yang buruk.

Anda harus memilih. Memboikot PRU adalah sama seperti membiarkan orang lain menentukan pilihan anda. Itulah pilihan anda. Ia seolah-olah menunjukkan akal  anda sangat lemah untuk memilih.

Saya faham situasi anda. Setelah bertahun-tahun diajar oleh pembangkang bahawa kerajaan adalah korup, anda kini ditunjuk supaya memilih Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Walaupun ia hanya sementara, ia adalah perkara yang begitu kontradiksi. Imej buruk Tun Mahathir yang dibawa oleh pembangkang, sebagaimana dikenakan ke atas Perdana Menteri hari ini, begitu mudah mahu dipadamkan.

Saya tidak boleh menukar pemikiran anda agar melihat sisi-sisi kebaikan kerajaan sedia ada. Cuma marilah kita cuba duduk dalam realiti.

Sekarang anda menyedari bahawa pembangkang itu bukanlah bersih dan ikhlas memperjuangkan nasib anda. Jadi, selama ini mereka hanya mempergunakan anda untuk kepentingan politik mereka, walhal mereka tidaklah sebersih mana. Nyawa politik mereka hanya bergantung kepada keburukan dan kelemahan parti kerajaan.

Anda sepatutnya mengajar mereka, bukan dengan memboikot PRU. Ketepikan emosi anda. Fikirlah dengan rasional.

Dalam penyelesaian mudah dengan pertimbangan akal yang rasional, daripada anda mencagarkan masa depan anda kepada pembangkang yang tidak pasti, sebaiknya untuk sementara waktu anda bertenang dengan mengekalkan apa yang sedia ada kerana anda sudah pasti bagaimana keadaan sekarang. Jika kita keliru kita hendaklah berhenti melangkah.

Menolak pembangkang akan membuatkan mereka sedar bahawa budaya politik mereka yang kotor dengan mempergunakan orang ramai untuk tujuan politik peribadi adalah tidak dapat diterima. Mereka akan menjadi berdisiplin dan kembali kepada tujuan asal mereka berpolitik jika mereka benar-benar ikhlas.

Lagi pun, tidak mungkin dua benda yang berbeza itu sama seratus-peratus sehingga anda tidak dapat  membuat pilihan. Seperti yang selalu dikatakan, pilihlah yang mudaratnya sedikit berbanding yang lain.

Apabila ditanya kepada saya, tentulah saya akan menyatakan kerajaan hari ini adalah lebih baik daripada kerajaan bayangan parti pembangkang.

Anda harus kembali kepada perkara-perkara yang asas.

Contoh-contohnya adalah sangat jelas jika anda rasional. Saya boleh senaraikan kemudaratan-kemudaratan pembangkang untuk anda nilaikan, bagaimana mereka tunduk kepada agenda-agenda orang bukan Islam seperti dalam isu nama Allah, kebebasan beragama, LGBT, mempersendakan agama Islam dan sebagainya. Pemimpin pembangkanglah yang bersekongkol dengan puak-puak ini sehingga mereka semakin berani dan terbuka menyebarkan dakyah-dakyah mereka.

Semua ini berlaku kerana mereka tujuan mereka adalah politik, dan mereka bukannya menjadikan politik itu suatu alat untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air anda.

Itu sepatutnya yang menjadi keutamaan anda daripada mempersoalkan pelbagai isu yang berkaitan keduniaan seperti isu-isu 1MDB, Felda, harga petrol, kenaikan harga barang keperluan dan sebagainya, yang anda sendiri tidak faham dan tahu bagaimana letak duduknya perkara-perkara tersebut, dan akhirnya mereka pula mahu mengangkat tokoh yang skandalnya lebih besar lagi suatu masa dahulu.

Setidak-tidaknya, kerajaan hari ini, walaupun anda menuduh mereka menggadai agama, bangsa dan negara, mereka masih lagi bercakap isu-isu ini dalam nada mahu mempertahankannya. Ini berbeza dengan pembangkang yang jelas tidak berminat memperkatakannya.

Pernahkah anda mendengar ahli-ahli politik Melayu pembangkang bercakap secara serius dalam isu-isu yang berkaitan agama, bangsa dan tanahair ini?

Jadi, adakah anda masih mengharapkan mereka membela perkara-perkara tersebut, sedangkan mereka sendiri kelu lidah untuk bercakap mengenainya.

Sepatutnya anda sedar perkara ini. Dengan sedikit contoh yang telah diberikan, anda tahu mana yang mudaratnya lebih kurang.

Selepas semua ini terdedah, tetapi anda masih mahu memboikot PRU, itu bukan lagi masalah sesiapa lagi, ia adalah masalah anda sendiri yang tidak dapat berfikir dengan rasional dan menimbang mana yang lebih kurang mudaratnya.

 

Oleh: AZMAN HUSSIN

Filed in: Azman Hussin, Politik, Topik Pilihan

Tiada Komen Lagi

Tinggal Komen